Sunday, October 4, 2009

IRANUN: KEISTIMEWAAN ETNIK IRANUN


Suku kaum iranun merupakan etnik minoriti di Sabah dan turut dikategorikan sebagai penduduk bumiputera Sabah. Suku kaum ini juga dikenali dengan pelbagai nama antaranya Iranun, Irranun, Illanun, Ilanun, Iranon-Meranao atau Merano. Setiap nama ini mempunyai sejarah tersendiri dan sebab mengapa ia sering digunakan oleh kaum lain didalam melambangkan kaum Iranun. Malahan sejarah kewujudan kaum Iranun di Sabah turut menjadi persoalan yang menarik. Ada pendapat yang mengatakan bahawa mereka ini berasal dari Pulau Borneo sendiri, dan tidak kurang pula pendapat yang mengatakan bahawa mereka berasal dari Mindanao. Seperti suku kaum lain, Iranun juga mempunyai beberapa keistimewaan yang sukar didapati daripada suku kaum yang lain, antaranya ialah Makna perkataan Iranun itu sendiri.


Iranun bermaksud berkasih-kasihan, yang dimaksudkan berkasih-kasihan adalah merujuk kepada sistem sosial yang amat erat, yang terikat oleh tali persaudaraan yang amat intim, dilandaskan kepada sistem kerjasama dan gotong royong. Sehingga sekarang situasi atau keadaan ini dapat dilihat dikawasan petempatan kaum Iranun khususnya dikampung-kampung sekitar Kota Belud. Majlis perkahwinan merupakan salah satu tempat untuk masyarakat Iranun berkumpul atau beramah mesra antara satu sama lain. Pada masa ini juga sistem kerjasama dan gotong royong akan terjalin terutama ketika menyediakan khemah, memasak dan sebagainya. Selain itu, hal ini bukan sahaja berlaku ketika majlis perkahwinan bahkan juga ketika berlakunya kematian. Sehingga sekarang masyarakat Iranun akan membuat kutipan derma berbentuk wang ringgit. Namun ada juga dikalangan masyarakat Iranun yang menyumbangkan derma berbentuk keperluan asas seperti beras, gula, tepung dan sebagainya.


Selain itu, satu lagi keistimewaan suku kaum Iranun adalah pegangan agama yang kuat. Seperti yang kita maklum, suku kaum Iranun merupakan suku yang beragama Islam. Lantaran itu, masyarakatnya terlalu mementingkan ajaran islam. Di daerah Kota Belud misalnya, kaum Iranun andai tidak keterlaluan saya katakana adalah suku kaum yang menjadi contoh kepada kaum lain didalam perlaksanaan ajaran Islam. Malahan melalui perbualan secara tidak formal dengan salah satu pemimpin dari suku kaum ini, beliau telah menyatakan bahawa ramai penyokong Parti Islam Se-Malaysia atau PAS adalah dari kelompok ini, namun ia tidak dapat disahkan akan kebenaranya. Merujuk kepada wakil Tilawah Al-quran peringkat daerah, Daerah Kota Belud pasti akan diwakili oleh suku kaum Iranun, malahan Imam daerah turut disandang oleh anak watan kaum Iranun. Di sekolah-sekolah didaerah Kota Belud, pelajar kaum Iranun pasti menjadi wakil sama ada pertandingan Hafazan, Tilawah Al-Quran, Azan dan nasyid.


Penempatan masyarakat Iranun di Sabah juga merupakan satu keistimiweaan suku kaum ini. Menelusuri sejarah penempatan Iranun di Sabah, satu keluarga Iranun dari Malabang (di Lanao del Sun) yang diketuai oleh Sultan Sa- Malabang di percayai telah sampai di Sabah pada tahun 1807. keluarga ini telah mula bertapak di Tempasuk iaitu panggilan oleh masyarakat Iranun terhadap Kota Belud pada satu ketika dahulu. Walau Bagaimanapun Tempasuk yang dikenali kini bukanlah petempatan masyarakat Iranun tetapi Minanga Tampasuk (Kuala Tempasuk) merupakan petempatan Iranun yang utama di Kota Belud. Kuala Tempasuk ini terdiri daripada beberapa buah kampong Iranun yang dikenali dengan nama Tamau, Marabau, Katabongan (Kota Bongan), Kota Peladok, Payas-Payas, Pantai Emas, Liang dan beberapa tempat lagi. Berdasarkan kawasan pola petempatan dan kehidupan masyarakat Iranun yang lebih dipengaruhi oleh laut, kenyataan di atas merupakan satu kenyataan yang tidak dapat di sangkal lagi. Justeru itu juga tidak hairanlah apabila para nelayan atau pemborong ikan adalah daripada suku kaum Iranun. Di pekan Kota Belud misalnya, penjual ikan dipasar besar adalah terdiri daripada masyarakat Iranun. Hal ini berbeza dengan masyarakat kaum lain kerana keunikkan kaum Iranun adalah mudah dikenali dengan berdasarkan bidang pekerjaan mereka, tetapi pada masa kini ramai anak-anak dari kaum ini mulai memilih bekerja di kawasan bandar..


Adat resam, ritual dan upacara tradisi Iranun turut menyumbang kepada keistimiewaan suku kaum ini berbanding dengan kaum yang lain. Bagi adat resam dan upacara-upacara khas untuk meraikan seseorang, masyarakat Iranun merujuk kepada adat resam yang diwarisi oleh mereka daripada datuk nenek mereka yang dinamakan Adat Warisan. Penentuan kedudukan seseorang mengikut adat masyarakat Iranun amat tegas. Adat yang diwarisi daripada datuk nenek ini mesti diikuti dan tidak boleh dilanggar. Perbuatan melanggar adat ini merupakan sesuatu yang sumbang dan menyeleweng. Lagipun, dalam masyarakat ini sudah termaktub adat dan istiadat sesuatu strata sosial seseorang itu. Kalau dia dari golongan Datu maka ada caranya dan adatnya sendiri dan begitulah sekiranya golongan biasa. juga, punyai adat dan caranya tersendiri.


Perkahwinan merupakan salah satu lagi keunikkan atau keistimewaan masyarakat ini. Perkahwinan dikalangan masyarakat Iranun di jalankan berlandaskan ajaran islam. Seorang lelaki Islam boleh berkahwin lebih daipada seorang tetapi tidak boleh melebihi empat orang pada satu-satu ketika,oleh itu tidak hairanlah kalau terdapat ada diantara mereka yang mempunyai isteri lebih daripada seorang. Seperti termaktub didalam ajaran Islam, sama ada perempuan atau lelaki, mereka hendaklah berkhatan atau tori dalam bahasa iranun. Perkahwinan merupakan satu kemuncak dalam hidup seseorang. Telah menjadi kebiasaan masyarakat Iranun pada zaman dahulu, ibubapa memilih pasangan untuk anak-anak mereka, tidak kira perempuan ataupun lelaki. Pakaian juga merupakan perkara yang harus diteliti dalam perkahwinan masyarakat Iranun. Bagi masyarakat Iranun ada warna tertentu yang ditetapkan kepada seseorang mengikut golongan. Golongan Datu, warna yang menjadi pakaian pengantinnya adalah hijau. Manakala golongan Sarif warna yang digunakan adalah warna kuning, bagi orang biasa mereka boleh memakai sebarang warna kecuali kuning dan hijau, sekiranya mereka ingkar maka mereka akan dikenakan denda.


Kematian dalam masyarakat Iranun juga mrupakan satu lagi keistimewaan masyarakat ini. Sekiranya berlaku kematian, maka seharusnya diumukan kepada penduduk kampung ataupun masyarakat sekitar. Ini berlandaskan pegangan masyarakat ini”senang sama di rasa susah sama ditanggung”. Terdapat dua cara untuk menghebahkan kematian iaitu pertama dengan cara orang biasa dan satu lagi dengan cara bangsawaan. Kematian orang biasa diumukan melalui pukulan tabo (tabuh) di Masjid. Manakala bagi golongan bangsawan seperti Datu dan Sarif, pengumuman kematian golongan ini pula ialah dengan cara memukul balu atau baluan. Balu ini diperbuat daripada gabungan alat bunyi-bunyian seperti Gong dan Babendir. Masyarakat Iranun ini juga mengamalkan satu budaya yang unik selepas pengebumian jenazah iatu menunggu kuburan. Beberapa orang akan menunggu kuburan itu selama beberapa hari dan setiap malam mereka berada di kuburuan ini. Bagi orang biasa tempoh menunggu tujuh malam, bagi golongan bangsawan pula 40 malam atau sekurang-kurangnya 21 malam. Perkabungan akan dibuat selepas berlaku kematian dimana tidak seorang pun dibenarkan mengadakan sebarang majlis berbentuk hiburan. Hal ini untuk menghormati keluarga si mati.


Justeru itu, Kaum Iranun adalah merupakan etnik yang unik malahan kaum ini walaupun minoriti tetapi sumbangan dan peranannya terhadap pembangunan di Sabah adalah amat penting. Dari sudut politik, kaum ini amat berbangga dengan pencapaian anak watan kaum Iranun iaitu Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia yang sekarang menjawat jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat. Bagi mereka insan ini cukup bermakna dalam survival politik kaum iranun. Tan Sri Pandikar merupakan pelopor kepada kebangkitan perjuangan masyarakat Iranun.


SUMBER RUJUKAN: IRANUN; ADAT DAN TRADISI (DATU BANDIRA DATU ALANG)

No comments:

Post a Comment

Penafian:
Penulis blog mapaittantu tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana melayari atau menggunakan maklumat dalam blog ini.